1994

Hadri Shah
3 min readSep 16, 2021

--

ihsan dari FB : Gambaq Lama Aloq Staq

Tengahari tadi, saya cakap sama Sang Quds, ‘I miss 90’s’ dan sepantas cahaya dia membalas, ‘who doesn’ t’ seolah-olah anak tunggal saya ini pernah membesar dalam era tanpa siapa pun mengenal erti bergelek di Tik Tok.

Menurut saya, tahun 94 adalah tahun paling manis dalam pengalaman bersekolah.

Ada banyak momen indah berlaku ketika itu, sebelum 95 - tahun gelap yang mengingatkan saya akan aksi luku bertunjangkan cincin batu besar gila babi milik arwah Cikgu Ghazali (moga dia tenang disana) dan kegiatan penipuan report card secara terpaksa (yang didalangi oleh saya sendiri) serta tahun di mana kami di kelas 4 Kreatif menghabiskan setahun sesi persekolahan dengan bermain bola tepuk dan membuat sticker.

Antara kenangan 94 ialah, but Puma pertama dan sepasang stokin bola hijau berjalur putih yang dihadiahkan bapa pada hari jadi.

Saya yang ketika itu di darjah 3 memang gilakan bola sepak. Setiap hari saya hafal nama-nama pemain Kedah termasuk pemain simpanan. Lepas tu, baca paper Utusan bahagian belakang sahaja bertujuan menambahkan ilmu bola sepak di dada. Di sebelah petang, saya berhempas pulas menjaringkan sebanyak gol yang boleh. Esoknya saya repeat lagi sampai Abang Jamil mampus.

Kadang-kadang saya rindu perasaan terlalu seronok dan bahagia mendapat hadiah. Perasaan itu sangat bermakna dan tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Bapa belikan but itu di sebuah kedai sukan berhampiran panggung wayang Cathay di jalan Limbong Kapal. Sekarang, kedai tu sudah tidak ada lagi.

Kedua ialah Cikgu Rosita. Setelah dua tahun berturut-turut berada didalam alam persekolahan yang gelap dan menakutkan dek kerana cikgu-cikgu singa yang hanya menyayangi anak-anak murid kaya dan cerdik seperti Ridzuan Hakim (bukan nama sebenar), di tahun itulah pertama kali saya merasa disayangi, dipercayai dan diberi perhatian oleh cikgu wanita berkulit hitam manis dan berkaca mata bulat bernama Rosita.

Walaupun bukan berpangkat ketua darjah, tetapi sayalah yang ditugaskan Cikgu Rosita untuk menghantar buku rekod kedatangan di pejabat sekolah setiap hari.

Rasa dipercayai membuatkan keputusan akademik saya berada di tahap yang baik. Inilah dia tuan-tuan kesannya apabila anak murid seperti saya merasa dipercayai.

Tapi sayang, Cikgu Rosita kemudiannya ditukarkan ke sekolah di Kuala Lumpur pada akhir sesi persekolahan. Merasa sedih dengan pemergian cikgu, saya kerap menyanyikan lagu kumpulan slow rock Spring ‘Sampainya Hatimu’ setiap petang sebelum mencetak gol.

Ketiga ialah pembukaan kedai Esso di Jalan Sultanah. Zaman itu tuan-puan, wajah stesen minyak adalah wajah yang membosankan -tiada apa yang menarik, sehinggalah Esso Jalan Sultanah bikin revolusi pada tahun 94.

Sebelum stesen-stesen minyak lain berlumba-lumba menukarkan konsep kepada kedai serbaneka yang super-cosy, Esso terdahulu mencipta sejarah peradaban kedai serbaneka dengan memaksimakan sifat kapitalis, saiz kedai yang luas dan sejuk serta membina suasana mirip hyper market dan menjual pelbagai barang makanan - minuman yang sempurna variasinya.

Esso Jalan Sultanah (sebelah sekolah menengah Syed Omar yang tak best) langsung menjadi mahsyur di kalangan warga Alor Setar.

Semua orang berpusu-pusu menyesakkan Esso dan seleceh-lecehnya pulang walaupun dengan sepeket Twisties.

Sebelum orang Malaysia gila tular memenuhkan cawangan baru Family Mart, penyakit menyesakkan kedai baru sudah lama membiak di Alor Setar. Esso lah syaitannya.

Setiap tengahari, bas sekolah akan mengambil saya dan Fairuza (sepupu saya) di rumah Acak-Alang di Jalan Sultanah. Kemudian bas akan singgah sebentar di Esso tanpa gagal.

Kami akan turun dari bas dan masuk ke dalam kedai serbaneka Esso untuk menjalani ibadah menghabiskan duit sekolah. Tuan-puan bayangkan, sebelum sampai sekolah dan bazirkan beli laksa di kantin, Esso lebih pantas merembat duit anak-anak kecil seperti kami. Setan macam dia, apa yang dia peduli?

Tapi saya happy sangat dapat membeli belah aiskrim Paddle Pop dan Twisties. Setiap hari, saya tertunggu-tunggu detik bas sekolah berhenti di Esso. Terasa macam orang dewasa bekerja makan gaji dapat membeli belah seorang diri.

Saya agak, perasaan sebegitu kini sudah tidak wujud lagi. Barangkali kerana hidup ini pendek.

Atau kerana kejamnya perjalanan umur; semakin dewasa, semakin kita meninggalkan kebahagiaan yang pernah hadir dalam situasi-situasi yang cukup sederhana tetapi menemukan makna yang mendalam dalam bahagian-bahagian kehidupan.

--

--

Hadri Shah

Penulis tiga buah buku yang kini sedang mencari pedoman hidup dengan meluncur papan selaju