3 JAN 2022

Hadri Shah
4 min readJan 4, 2022

--

Sebuah catatan separa penting. Mungkin tak penting untuk hang. Mungkin tak penting untuk saya. Tapi penting untuk sebuah pendokumentasian bahagian hidup yang bermula seawal 3 hari pertama di tahun baru.

“Kalau boleh ditentukan sendiri, nescaya tak siapa pun dari kalangan kita mau mati dilanggar lori”

Pagi tadi saya keluar awal.

Jam 7 pagi. Sejuk dan alam masih gelap. Saya cium dahi Quds. Anak kecil saya ini masih berlari dalam gelanggang mimpi. Saya dukung Kaido yang meronta-ronta mahu mengikut keluar rumah. Kemudian, saya rangkul pinggang Pari-Pari Polka Dot. Bibir saya bertemu bibirnya. Kami ucap sebuah perkataan magis yang penuh makna. Saya ambil beg galas, melambai tangan ke arah Pari-Pari Polka Dot dan berlalu menuju Kenari Biru eksos asap putih.

Dalam hati terpasang satu niat. Hari ini, semua barang-barang atas-bawah-kiri dan kanan kubikel mesti dikemaskan. Selepas segalanya selesai, saya mahu mulakan hari pertama bekerja di tahun nyaris tak bermakna apa-apa 2022, dengan melepak dan bergelak ketawa dengan Sacred Brother Sister.

Kenari Biru asap putih yang saya tunggangi bergerak 80km sejam. Kadang-kadang bila terlampau rileks, dia buat tenang 60km je. Kawan-kawan selalu gelakkan, “bawak kereta 80km sejam, bila nak sampai?”. Saya abaikan sinikalisme mereka. Dalam dunia yang tidak adil dicipta Tuhan, saya mesti keras menepis ejekan begini. Lagipun, banyak yang dah saya ejek mereka, apa salahnya beri mereka peluang merasa nikmat menjadi pengejek berkarisma pula?

Sedang saya ralit mendengar Mostly Skateboarding Podcast di Spotify sambil memandu, tiba-tiba Kenari Biru asap putih terlanggar sebuah lubang sederhana besar tetapi cukup celaka.

Dan tiba-tiba juga, Kenari biru asap putih seolah-olah terputus kaki disadung gergasi hijau yang bengis. “Fak the hole” — mencarut saya dalam bahasa penjajah. Saya tahu, ini mesti pasal lubang tadi. Kalau saya seorang KJ, atau berpangkat Menteri, tobat lillahitaala JKR akan sujud memohon ampun kepada saya. Tetapi saya seorang makan gaji bulan. Tiada nama. Tiada jawatan. Tapi rupa, ada.

Keadaan yang mencemaskan membuatkan lelaki pertengahan 30an seperti saya cepat menggelabah. Tak fikir lain, saya mesti berhentikan Kenari Biru asap putih. Otak hanya berzikirkan towing, towing, towing. Tangkas saya menghubungi syarikat insurans memohon rangers towing menyelamatkan kami berdua.

Tuan- puan yang budiman, kami tersadai di atas fly-over lebuhraya MR22 di Kepong. Sumpah saya memang takut. Benar-benar takut! Keadaan yang suam-suam kelam, sejuk, dan lantai jalan raya yang basah membuatkan saya mengigau macam-macam. Terbayang kisah treler hentam 9 anak beranak lewat beberapa hari lalu.

Setiap kali saya nampak lori dihadapan, otak saya berputar mencari arah ke mana sepatutnya saya lari; kedepan atau pecut kebelakang?

Saya tau kita semua akan mati. Tapi bukan hari ini. Bukan pagi pertama bekerja. Macam-macam imej bercampuk aduk pintas melingkar didalam otak. Saya teringatkan Pari-Pari Polka Dot, Sang Quds, Kaido. Dan cilakenya, saya teringatkan hal kerja. Setan, di saat-saat begini; kengerian dan seolah-olah tiada harapan, hal kerja juga yang diingatkan!

Hampir 45 minit saya menunggu Rangers Towing. Punya gampang. Depa hantar Rangers dari Shah Alam turun ke Kepong untuk meresque saya. Kenapa tak hantar dari Perlis je, alang-alang? Dan bila saya call, Rangers tu cakap lembut, 'jauh lagi bang. Jalan jem. Tunggu jap ye’.

Saya malas bising-bising. Depa pun makan gaji bulan. Mampus, saya sudah tak mampu menunggu. Saya bertekad bawa Kenari Biru asap putih ke pam stesen berhampiran. Apa nak jadi, jadilah. Saya masih belum mau mati dihempap treler, lori dan kenderaan-kederaan brutal yang lain. Saya masih mahu mencium Pari-Pari Polka Dot setiap pagi, masih mau berada disisi Quds, bermain dengan Kaido, balik Sg Petani dan Raub jumpa bapak-mama-mak-abah dan masih banyak senarai hutang piutang yang belum surut ditelan wang.

Jadi saya teguhkan azam, bersatu dengan Kenari dan kami berdua berhati-hati, perlahan-lahan melangkah setapak demi setapak menuju Petron.

Tatkala kami sampai di Petron, hati saya seperti seorang lelaki yang berjaya melarikan diri dari penjara milik Sultan yang maha kejam.

Rangers Towing lambat lagi ke tidak, saya sudah tak peduli. Yang penting, saya tidak lagi berdiri di tepi lebuhraya kebanggan Sammy Vellu menunggu rangers towing yang tak pasti.

Lebih kurang 20 minit selepas itu, Rangers Towing pun tiba. Dia mohon maaf sebab sedikit lewat. Terus dia tengok-tengokkan tayar Kenari Biru asap putih yang hancur bagai hati seorang wanita yang dipijak jantan kabaret tak guna.

Dia keluarkan henfon dari kocek. Tekan-tekan. Lepas tu dia bercakap dengan siapa entah. Lepas tu dia pandang muka saya seraya berkata,

'saya datang nak rescue abang. Tapi tayar lori saya pula yang pecah’.

Maka, berkecai lah hati saya.

Dah la. Malas nak sambung. Nasib baik dia buat rileks towing jugak Kenari Biru asap putih walaupun tayar belakang lori dia buatkan saya mengulang-ulang dua kalimah syahadah berserta surah 3 Qul.

--

--

Hadri Shah

Penulis tiga buah buku yang kini sedang mencari pedoman hidup dengan meluncur papan selaju