DUNIA DAN MASA DEPAN YANG MENGERIKAN.

Hadri Shah
3 min readJan 21, 2019

--

“The Future is Unwritten — Joel Strummer”.

FAKTA : Rakyat Malaysia kini gembira.

Yang tua, yang muda semuanya tersengih-sengih. Dari menaip mesej sampailah berborak di kedai kopi, dari pagi sampai ke tengah malam, ungkapan ‘cathcy’ “Malu apa bossku” diulang — ulang tanpa rasa jemu.

Tuan-tuan,

Ungkapan ini bukan sebarang ungkapan. Hari ini “Malu Apa Bossku” adalah fenomena politik paling “in-trend”.

Kini, politik bukan lagi topik yang membosankan. Politik bukan lagi wajah-wajah serius yang terperuk dalam gelanggang Parlimen.

Bahkan politik hari ini ialah politik “troll”, sindir-menyindir di media sosial antara politikus-politikus sarkis.

Siapa lebih banyak tweet dan kemaskini status facebook, maka dia dianggap lantang, genius, kritis dan ditabal sebagai raja troll.

Nampaknya, semua orang sudah lupa penderitaan yang mereka alami sebelum 9 Mei 2018.

Dahulu mereka menangis setelah mengetahui kehidupan anak-anak miskin di flat Kuala Lumpur. Dahulu mereka berdebat tentang purata gaji rakyat Malaysia. Dahulu mereka gelisah dan marah - harga barang semakin mahal, duit simpanan tidak cukup tetapi orang kaya bertambah kaya. Dahulu mereka kerap mengeluh; semua yang Najib Razak buat, semuanya salah. Ada saja yang tak kena. Segalanya menyusahkan. Dan bila terdengar nama Perdana Menteri Malaysia, mereka menyumpah seranah 7 petala langit.

Tetapi sekarang tidak lagi.

Setiap hari mereka tertunggu-tunggu tweet Najib Razak. Mereka mahu menari mengikut ritma sarkastik Najib, ketawa dan mabuk “Malu Apa Bossku?”

Alangkah bagusnya kalau mereka sedar sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk ‘ride’ santai. Tak tahukah mereka ekonomi dunia sedang tenat? Dan yang akan “mati awal” disebakan malapetaka ekonomi bukanlah golongan elitis “bossku” tetapi mereka sendiri.

9 bulan lalu, The Guardian melaporkan menurut satu analisis tergempar, golongan terkaya dunia (1%) pada sasaran untuk memiliki dua pertiga daripada semua kekayaan dunia menjelang 2030.

Untuk pengetahuan tuan-tuan, sejak tahun 2008, pertambahan nilai kekayaan golongan kaya (elit) bertambah secara konsisten pada nilai 6% sedangkan golongan marhaen (99%) cuma naik sebanyak 3%.

Sekiranya situasi begini berlarutan, golongan kaya akan memiliki 64% kekayaan dunia dalam masa sebelas tahun sahaja lagi.

Apakah kebimbangan kesan dari gejala perseteruan kelas ekonomi?

Opinium dalam dapatannya mengatakan bencana paling menakutkan ialah ketidaksamaan kekayaan akan meningkatkan tahap korupsi dan kaum kaya akan mempengaruhi dasar-dasar dan polisi kerajaan.

Ahli ekonomi berbangsa Serbia, Branko Milanovic menegaskan dalam setiap sistem politik termasuklah demokrasi, golongan kaya lebih cenderung mempengaruhi kuasa politik.

Bahayanya ialah, kuasa politik akan digunakan untuk mempromosikan dasar-dasar yang memperkuat kekuatan ekonomi orang kaya. Semakin tinggi ketidaksamaan, semakin besar kemungkinan kita akan beralih arah dari demokrasi ke plutokrasi.

Kira-kiranya mudah; semakin senjang aturan ekonomi, semakin kuat dominasi golongan kaya ke atas politik maka semakin nipislah peluang dan kesempatan rakyat kebanyakkan dalam hal ehwal pendidikan, layanan kesihatan, politik dan sosial.

Bayangkan bagaimana teruknya hidup seorang pekerja Malaysia yang menerima gaji kurang dari RM2,000 dan terpaksa membelanjakan 95% dari gajinya? Bagaimana masa depan pemegang akaun KWSP yang simpanannya kurang dari RM8,000 ? Apa akan berlaku dengan idea ‘kemakmuran hidup’ sekiranya akses kepada keperluan hidup semakin menggelisahkan?

Kita tidak bercakap soal moral mengenai sebuah kekayaan. Tetapi masalah utama dari kesenangan yang dinikmati segelintir kaum melukis ketidakadilan dan mewujudkan penyakit sosial. Penyalahgunaan dadah, kes kriminal, bunuh diri dan kemiskinan — semuanya dipengaruhi faktor kesenjangan ekonomi.

Kita perlu sedar dari kemabukkan tuan-tuan.

Gaji yang kita peroleh setiap bulan tidak menepati taraf hidup sekarang. Segalanya tentang berapa helai not yang kita miliki. Kita dibebani hutang. Kita menyaksikan rarusan ribu unit rumah tidak terjual sedangkan setiap bulan kita dilanyak harga menyewa rumah kecil. Hidup kita hari ini bukan ditumbuhkan dalam semangat kesamarataan, tetapi dalam sebuah pertandingan yang tidak adil. Kita bertaruh untuk kekal bernyawa dengan mereka yang memiliki kuasa dan peluang.

Ketidaksamarataan ekonomi akhirnya akan membusukkan masyarakat. Jika hari ini kita tidak mengambil bahagian secara langsung dengan mengambil langkah menulis semula peraturan bagaimana ekonomi kita dapat berfungsi, maka, secara literalnya kita sedang menggali lubang kubur sendiri menunggu untuk ditalkinkan. Dunia masa depan untuk anak-anak kita akan menyaksikan korupsi adalah raja dan kemiskinan sebagai tamadun yang mencerai beraikan institusi kemanusiaan.

Tidakkah ia kedengaran sangat mengerikan, bossku?

--

--

Hadri Shah
Hadri Shah

Written by Hadri Shah

Penulis tiga buah buku yang kini sedang mencari pedoman hidup dengan meluncur papan selaju

No responses yet