HAJI YANG TERMANSUHKAN

Hadri Shah

--

USAI membaca artikel teman karib Mohd Syazreen di kolum TMInya beberapa hari lalu mengingatkan aku kepada satu cerita.

Rasanya belum cukup setahun lagi ; ada seorang ustaz muda dijemput pihak masjid untuk mengisi slot kuliah sementara menunggu khtubah jumaat diperdengarkan.

Di pertengahan kuliah, ustaz muda tersebut menyatakan kebimbangannya kepada jemaah masjid akan berita yang dia baru terima berkenaan situasi terkini di Mekah.

Berita berkenaan disampaikan oleh rakan-rakan seperjuangan ustaz melalui aplikasi whatsapp.

Menurut kawan-kawannya, projek pembangunan melibatkan kemudahan dan fasiliti-fasiliti di sekitar Mekah kini tergendala kerana krisis kewangan yang dialami kerajaan Arab Saudi.

Tetapi bukan kerana tergendalanya projek-projek itu yang membimbangkan ustaz, melainkan khabar angin deras mengatakan krisis kewangan itu disebabkan peranan kerajaan Arab Saudi dalam urusan pembelian militari dan perang ke atas Yemen.

Sudahnya, sebelum mengakhiri kuliah singkat beliau, beliau pun membacakan sebuah doa yang sugguh syahdu yang panjang dan antara kandungannya ialah - beliau merayu kepada Tuhan agar berita ini hanyalah sekadar khabar angin yang tidak bermakna apa-apa.

Aku yang termanggu kebosanan di satu sudut di dalam masjid tertanya sendirian,
"selain membaca mesej /berita dunia di Whatsapp, ustaz ni tak pernah baca The Guardian ke?"

Bukankah perang di Yemen itu suatu kenyataan yang memeritkan sejak tahun 2015 lagi? Kenapa pula selepas hampir dua tahun perang berlangsung tiba-tiba kita mengharapkan agar berita itu cumalah khabar angin?

Lama sebelum itu, Ajmal Masroor menulis sebuah artikel tentang pengalaman Hajinya pada tahun 2012 bertajuk "What Have They Done to My Hajj? yang disiarkan The Guardian.

Tulis Ajmal,
"Haji adalah mengenai pembaharuan kepercayaan individu dan kolektif. Saya amat bimbang bahawa haji mungkin telah kehilangan makna rohani yang sebenar. Saya mungkin telah mencapai kejayaan peribadi untuk menyelesaikan ritual, tetapi kos ekonomi, alam sekitar dan krisis sosial sangat mengejutkan. Saya meratapi kelajuan perubahan yang menyapu bandar ini, menghapuskan sejarah dan warisan dalam laluannya"

Berbeza dengan cerita para Haji dan Hajjah lain yang selalu menceritakan perasaan hiba, terharu dan menangis teresak-esak sepanjang berada di sana, Ajmal pula bertindak mengkritik keadaan yang berlaku di Mekah.

Pencemaran yang meraksa, pembaziran masa di atas jalan raya, faktor ekonomi yang menyebelahi kelas kaya dan menyisihkan si miskin dan bangunan-bangunan pencakar langit simbol keangkuhan yang dipasak di atas tanah telah meranapkan semangat kesucian yang sepatutnya disedut jutaan manusia yang berasak-asak di tengah Kaabah.

Apa yang diekspresikan Ajmal barangkali benar.

Laman The Independent pada 2011 melaporkan transisi Mekah kepada kota hiburan ala Las Vegas di dalam artikel bertajuk Mecca for the rich: Islam's holiest site 'turning into Vegas'.

Menurut mereka, Makkah, sebagai sebuah tempat di mana Nabi Muhammad menegaskan konsep kesamarataan antara manusia telah menjadi taman permainan untuk kelas kaya (elit). Para pengkritik mengatakan, pertumbuhan kapitalisme di Mekah terang-terang telah merampas kerohanian sebagai bandar raya raison d'être itu.

Berdasarkan kisah-kisah begini, ritual rukun ke lima umat islam ini nampaknya gagal membentuk keperibadian ulung penganutnya.

Mekah hanya menjadi tempat kunjungan setiap tahun untuk tujuan "menyucikan jiwa". Tetapi sekembalinya para haji dan hajah ke tanah air masing-masing, mereka hanya pulang dengan cerita-cerita sebak dan berkongsi bertong-tong air zam-zam, kurma dan tasbih dengan kaum kerabat dan orang kampung.

Namun dunia tetap menerima nasib yang sama. Malah lebih teruk. Peperangan, kapitalisme, jurang kaya dan miskin, kemelaratan, rasisme, ketuanan bangsa - semua ini kekal menguasai dunia.

Jadinya, berdosakah kita untuk bertanya, masih relevankah ibadah haji?

Dari kebrutalan gergasi Arab Saudi sehingga ketaatan berbillion umat mengelilingi Kaabah, dari sudut manakah ritual haji mampu mengisi usaha-usaha mencipta dunia yang lebih baik?

Sekarang, baca perenggan berikutnya dengan kadar sabar yang yang lebih tinggi.

Sekiranya ketauhidan kepada Yang Maha Esa menggetarkan jiwa hamba-hambaNya untuk melakukan perkara yang wajar dan meninggalkan yang tidak, mengapa yang tinggal sekarang hanyalah zombie-zombie yang lompong jiwa kemanusiannya?

Ini bukan menidakkan aktiviti-aktiviti ritual atau kewajipan bersolat dan sebagainya, tetapi ini mempersoalkan mengapa aktiviti-aktiviti wajib / menuruti rukun ini gagal mempengaruhi kondisi kemasyarakatan?

Berbalik kepada isu perang Saudi ke atas Yemen. Masyarakat dunia perlu sedar yang mana bukan Syria sahaja yang sedang hangus terbakar.

Pada bulan November 2017, Save the Children melaporkan bahawa 130 kanak-kanak mati setiap hari, dengan 50,000 kanak-kanak sudah dipercayai mati pada 2017. Manakala pada Disember 2016, UNICEF melaporkan bahawa kanak-kanak mati setiap 10 minit dari penyakit yang boleh dicegah seperti cirit-birit, kekurangan zat makanan dan jangkitan saluran pernafasan. Dan laporan baru-baru ini NGO, Bencana dan Kecemasan yang berpangkalan di UK meletakkan jumlah kematian akibat penyebab yang boleh dielakkan pada 10,000.

Kematian menjadi murah. Berjuta hilang tempat tinggal. Anak-anak kecil hilang alam persekolahan. 3 juta bayi lahir di Yemen sepanjang perang dijangka akan membesar melihat keganasan dirayakan di depan mata.

Dan kita yang mencita-citakan haji yang mabrur ini tergamak memejam mata sambil mengelilingi Kaabah dengan harapan Tuhan mengampuni dosa-dosa silam?

Berapa puluh ribu lagi angka-angka ini perlu meningkat untuk menyedarkan para haji dan hajjah untuk melupakan hasrat menunaikan rukun kelima mereka?

Apakah iklim kapitalisme yang gagah berpusat di Mekah dan keangkuhan Arab Saudi membakar daerah-daerah Yemen sehingga menjadi abu sedikitpun tidak merubah niat berihram mereka?

Apakah mereka tetap juga mengatakan mereka sudah berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan, tempat tinggal dan sudah layak berebut mencium Hajarul Aswad tetapi tidak pula berkemampuan merubah situasi yang berlaku di Yemen dan sekeliling Mekah?

Sebagai seorang yang mengamini masyarakat berupaya bebas walaupun tanpa kepimpinan ahli politik, pemerintah dan alim ulamak, sekurang-kurangnya kenyataan seorang wakil persatuan Imam Tunisia baru-baru ini melegakan aku.

Alaraby.co.uk memetik kenyataan Fadhel Ashour, yang berkata,

"Wang yang disalurkan ke pihak berkuasa Saudi [dari Haji] tidak digunakan untuk membantu umat Islam miskin di seluruh dunia, sebaliknya ia digunakan untuk membunuh dan memindahkan orang seperti yang berlaku di Yemen,"

Fadhel menambah bahawa Tunisia perlu memboikot Haji dan membelanjakan wang mereka di dalam negeri untuk memperbaiki keadaan orang di negara Afrika Utara.

Nah!
Inilah kenyataan yang ditunggu tunggu selama ini, selama Arab Saudi merosakkan keberadaan Mekah, selama ritual tahunan yang gagal membentuk peribadi ulung penganut Islam, dan selama perang yang didalangi Arab Saudi menghanguskan Yemen untuk tahun ketiga.

Bagi umat Islam, kemampuan yang paling utama saat ini bukanlah menyemak baki duit simpanan didalam akaun Tabung Haji, tetapi kemampuan mereka untuk mempertahankan nilai kemanusiaan, untuk berani berkata benar dan bersikap radikal serta kritis dalam berhadapan gergasi berotoriti seperti kerajaan monarki Arab Saudi.

Seperti kata-kata terakhir Ajmal dalam artikel beliau,

"Pada kadar ini, ibadah haji tidak lama lagi akan menjadi ritual materialistik, pertunjukan untuk orang yang kaya raya untuk memaparkan kekayaan dan kebangsawanan mereka.
Aku sesungguhnya sangat merindui haji yang menghubungkan aku dengan peranan dan semangat nabi Ibrahim yang memusatkan aku kepada Tuhan semesta alam "

Sign up to discover human stories that deepen your understanding of the world.

Free

Distraction-free reading. No ads.

Organize your knowledge with lists and highlights.

Tell your story. Find your audience.

Membership

Read member-only stories

Support writers you read most

Earn money for your writing

Listen to audio narrations

Read offline with the Medium app

--

--

Hadri Shah
Hadri Shah

Written by Hadri Shah

Penulis tiga buah buku yang kini sedang mencari pedoman hidup dengan meluncur papan selaju

No responses yet

Write a response