KEMISKINAN : JALAN PANJANG YANG TAKKAN PUTUS

Hadri Shah
4 min readMar 8, 2023

--

Ehsan Google la

"Dalam Islam, kemiskinan tak dapat dihapuskan kerana zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang diagih untuk asnaf termasuk fakir dan miskin".

Saya bingung tatkala mendengar ucapan MP Perikatan Nasional di Parlimen. Selama ini saya jangkakan Islam datang membawa rahmat seluruh alam.

Kerana itulah yang sering saya dengar sedari kecil. Islam hadir bukan sahaja menjemput umat mengenal Tuhan yang Esa. Bahkan sebagai ubat kepada pelbagai penyakit.

Pernah saya mendengar seorang ustaz bercakap di sebuah kuliah beberapa tahun silam. Katanya, sekecil kecil perkara seperti basuh berak pun Islam ajar. Inikan pula hal-hal yang lebih besar. Begitu sempurnanya agama revolusioner ini.

Namun, setelah mendengar kalimat MP tersebut, keimanan saya semakin mantap.

Bahawa, agama adalah barang paling enak, paling sempurna diniagakan; diniagakan ketika mentawarkan sesuatu yang nyaris utopis kepada umat. Pun diniagakan saat ketandusan idea. Atau lebih layaknya ketika malas berfikir.

Walau apa pun, ternyata kemiskinan adalah subjek paling sensasi.
Kemiskinan selalu ada, dan akan terus siksa bergemerlapan, seperti jalan lurus yang sunyi tanpa ada cahaya di hujungnya.

Saya setuju mengatakan ia tidak boleh dimansuhkan. Pun mati - menjadi bahan sejarah untuk teladan generasi masa datang.

Sekiranya kemiskinan sudah selesai, kamu fikir apalagi yang akan disyarah-syarahkan ahli politik?

Kemiskinan adalah modal arkaik paling ampuh memancing sokongan.
Bercakap mengenai kemiskinan adalah instrumen terpenting menawan hati hamba-hamba miskin yang sering dihimpit rindu kesenangan.

Justeru, bersurah mengenainya adalah bahagian-bahagian wajib dalam perjuangan seorang ahli politik. Tanpanya, ia sulit terlihat sebagai ikon heroik, seorang pejuang tulen rakyat.

Jadi ia wajib terus berlangsung.

Selama ia wujud, ahli politik akan lebih kreatif menawarkan formula-formula bagaimana mereka akan mengakhir hayat kemiskinan - walaupun kita tidaklah begitu dungu tentang kenyataan sebenar saat mereka menikmati kelazatan kuasa.

Dan selama kemiskinan wujud, meliar dan bermaharajalela, akan ada pasukan-pasukan ekonomi membuat kajian demi kajian mengenainya. Tujuannya juga menghadap kiblat yang sama - membuktikan kemiskinan adalah gergasi ganas yang menarik nikmat hidup masyarakat.

Kemudian kertas kerja mereka dibentang di hotel-hotel mewah. Atas nama konferens mereka meneriak akan dapatan-dapatan yang telah mereka kumpulkan.

Kesedihan dan penderitaan orang-orang miskin ditangisi seluruh jemaah konferens. Awan mendung menyelubungi atmosfera pusat konferens di hotel mewah.

Tapi kan, entah-entah pelaburan dan perbelanjaan mendanai kajian dan segala jenis konferens yang dijalankan atas nama perlawanan terhadap kemiskinan sebenarnya kalau diguna pada tempat yang benar, kemiskinan barangkali sudah lama tinggal sejarah. Siapa tahu?

Jadi seperti yang saya maklum sebentar tadi, biarlah kemiskinan ada dan selamanya menghantui.

Kerana kalau ia sudah mati, kemana harusnya duit zakat pergi? Baki 2.5% dari pendapatan yang sepatutnya dikeluarkan, seharusnya menjadi apa?
Bagaimana pula dengan orang-orang kaya?

Kalau kemiskinan kini menjadi debu di udara, akan tiada tempat orang kaya menzahirkan kebaikkan membantu umat miskin yang kehabisan susu tepung, beras dan minyak di rumah. Tiada lagi wartawan dan jurufoto mengambil laku kebajikan mereka saat turun berkongsi sedikit kemewahan kepada yang lapar roti.Tidak kah kita kesian merasa kepada orang kaya?

Dan sudah tentu kalau kemiskinan telah innalillah wainnalillah hirojiun, kamu fikir bangunan pejabat zakat layak dibiar kosong dan berdengung tiap kali ditiup angin? Pak imam, lebai, pegawai zakat - apa nasib mereka? Tiada lagi kerja dan jawatan buat mereka yang menabur bakti.

Kemiskinan lawannya sederhana. Bukan kekayaan. Kemiskinan akan terguncang saat pintu kesempatan dan peluang sama rata dibuka.
Kemiskinan tak boleh ditewaskan apabila si miskin berbondong-bondong menyertai arena trading. (Sebagai contoh).

Kita, (sebenarnya saya) sesungguhnya tak gamak melihat si miskin terpekik-pekik, berbangga-bangga dengan kejayaan memandu Porsche dan bercakap-cakap perihal betapa miskinnya dia suatu ketika dahulu di TikTok dan kini cabar-mencabar mereka-mereka yang kepingin menjadi berjaya (kaya) sepertinya sekarang.

Saya rasa itu sesuatu yang bodoh benar. Mempamer kekayaan, bercakap sombong serta menggunakan formula menunggangi agama demi membuktikan segala usaha, sikap terhadap apa yang dikerjakannya seperti anjuran agama adalah ciri-ciri utama watak-watak kebanyakkan Trader berjaya (kaya) di media sosial.

Soal fundamentalnya, mungkin si miskin yang telah kaya kini telah keluar dari mimpi ngerinya. Tetapi, apakah itu jalannya - merobohkan dinding kemiskinan dengan cara menjadi kaya?

Cukuplah. Saya tak mahu berpanjang-panjang dalam hal ini lagi.
Mungkin saya seorang idealis poser. Konon-konon melihat dunia dalam spektrum berbeza dan mahu kelihatan seksi bercakap soal kesamarataan.

Kenyataanya, saya masih pemakan gaji bulan yang setia, pememburu cita-cita majikan yang saleh, masih menyewa apartment kecil dan mudah merasa selesa walau tiada simpanan di hari tua.

Kamu semua dengarlah cakap MP tu. Dia lebih bijak. Kalau dia bodoh, takkan kamu menonong berbaris taat saat mengundi beliau dulu?

Atau paling bagus, susun, belajar jadi Trader, cakap macam Trader, kerja macam Trader dan barulah fffflyyyyyyyyy.

--

--

Hadri Shah

Penulis tiga buah buku yang kini sedang mencari pedoman hidup dengan meluncur papan selaju