KENYATAAN HIDUP SEORANG KELAS PEKERJA

Hadri Shah
3 min readMar 24, 2024

--

Curik dari Ed Templeton

"Kalau saya diterima bekerja di sini, apa manfaat lain yang ditawarkan selain upah bulanan?" - tanya seorang mahasiswa tahun akhir kepada saya.

Seperti kalian semua, saya juga pernah melalui beberapa siri temuduga.

Ada rasa debar berombak-ombak bercampur seraksa harapan saat menghadapi dua manusia yang layak memutuskan nasib seorang pemohon.

Apa pun, biarlah saya jujur. Bahawa lebih banyak permohonan saya ditolak berbanding diterima.

Sungguhpun kecewa, marah dan dendam, saya anggap itu sebahagian dari awalan liku-liku hidup yang wajib dijalani sebelum bergelar seorang kelas pekerja makan gaji bulan.

Selama 17 tahun leher, daging, tulang belulang dikelar majikan dan setelah beribu-ribu umat manusia ditemuduga, saya cukup mengerti hasrat seorang mahasiswa tadi yang datang berdagang potensi diri.

Dan saya lebih dari memahami mengapa mahasiswa itu bertanya soalan sedemikian;

Mahasiswa benar-benar makhluk perasan — yang mereka punya nilai seluruh alam untuk ditawarkan kepada majikan.

Sepertinya nilai yang ada pada diri mereka itu cukup mewah. Luar biasa. Dan tersendiri.

Maka rugilah mana-mana majikan melepaskan mereka — seorang mahasiswa yang sempurna dengan segulung ijazah, berkeping-keping sijil-sijil penyertaan tersimpan dalam fail serta teori-teori kuliah teresap dalam kepala.

Tetapi sayang, bukan maksud saya mahu meranapkan cita-citamu. Kenyataannya tidak sebegitu.

Sesebuah organisasi tidak melihat sisi esentrik sebegitu.

Mereka (baca : pemilik syarikat / organisasi) mahukan seseorang yang berkemampuan mencapai cita-cita kapital syarikat yang tak pernah berpenghujung.

Dalam bahasa mudah, anda hanyalah seekor kuda yang akan dipertunggangkan selama boleh untuk menuju destinasi idaman majikan.

Sabda agung seperti "potensi muda yang akan menjadi generasi baru syarikat" mempunyai maksud berbeza dari apa yang tertangkap dalam layar imaginasi anda.

Potensi muda yang didamba-dambakan itu bukanlah bermaksud ‘menerajui’ melainkan diterajui.

Lupakanlah istilah demokrasi dalam syarikat/organisasi kapital.

Leher, daging, tulang belulang milik anda dighairahi majikan kapital untuk diperah demi cita-cita ulung mereka.

Mahu mengharapkan manusia yang sudah mencecah umur 45 tahun ke atas untuk tujuan ini, barangkali bukanlah idea yang baik.

Daging mereka sudah liat. Darah tidak sepekat dulu. Leher pelan lama pelan mengecut.

Di fasa ini, bukan dateline dan leteran bos yang ditakutkan.

Malah yang lebih mengerikan ialah Hantu gout, pocong diabetis dan toyol kolestrol yang cukup berahikan golongan-golongan pekerja berusia 45 tahun ke atas.

Oleh demikian, janganlah anda berduka kerana sering bersendirian di pejabat.

Kerana kawan-kawan sekerja senior lebih banyak menghadirkan diri ke hospital berbanding berada di meja berhempas pulas menyiapkan kehendak bos.

Leher anda masih mulus untuk dicumbui. Daging anda terkandung jus lazat. Tulang perawan anda pula masih kuat. Masih mantap — Ini semua adalah resipi untuk menyambung cita-cita yang jangan bermimpilah bukan milik anda.

Oh ya. Kalian mesti tertanya-tanya apa jawapan saya kepada calon mahasiswa tadi, bukan?

"Saya tidak menjanjikan apa-apa kelebihan. Untuk urusan itu, HR lebih berhak memberi jawapan.

Namun, jika ditanya kepada saya apa kelebihan yang bakal dimiliki, saya akan campak anda ke dalam kenyataan hidup bekerja yang real.

Bagaimana cara-caranya untuk menghadapi kawan sekerja yang kuat mengelat. Tips-tips menggoreng bos agar tidak kantoi. Mode konfiden yang mesti dinyalakan pada tempat dan masa yang sesuai. Dan juga bahagian-bahagian yang mesti diasah untuk tujuan survival diri.

Saya juga akan memperkenalkan anda kepada spesis-spesis terwujud di dalam ruang pekerjaan.

Bagaimana mahu mengenal makhluk kaki repot misalnya. Atau mungkin anda teringin melihat makhluk-makhluk pencium sejati buntut bos, atau sejenis pemalas namun kuat sekodeng pekerjaan orang lain, atau makhluk halus yang jarang-jarang berada di pejabat tetapi apabila ia hadir umpama seluruh kerja di dalam pejabat terbeban di atas pundaknya!

Anda harus kenal. Dan belajar cara-cara menghadapi mereka. Belajar menyusun strategi. Dan belajar cara-cara menyelesaikan tiap keremah !dan permasalahan.

Ini adalah bekal untuk terus survive walau di mana saja anda dicampakkan. Dan saya dengan rela hatinya bersedia menjadi gurumu.

Hidup bekerja makan gaji di bawah iklim kapital, tak seperti yang tercetak dalam mindamu, sayang".

Mahasiswa itu memandang saya seperti ada api neraka yang baru terbakar. Kecil. Tetapi semakin membesar nyalanya.

Saya tak pasti samada beliau sedang terbakar. Atau kini sudah rentung menjadi debu.

--

--

Hadri Shah

Penulis tiga buah buku yang kini sedang mencari pedoman hidup dengan meluncur papan selaju