
PAPAN SELAJU DAN BUDAYA TANDING TERUNGGUL
"You didn't quit skateboarding because you got old, you got old because you quit skateboarding"- Jay Adams.
OH, saya tidak bercadang untuk menulis tentang politik, tentang kasta kehidupan, hieraki kepimpinan mahupun mengulas panjang lebar tentang korupsi pemikiran masyarakat kali ini.
Saya fikir, saya perlukan tempoh bertenang dari "menghadap" drama politik semasa yang membosankan. Saya tidak mahu berdoa kepada tuhan yang Maha Esa supaya Dia memberi pedoman kepada para pemimpin nasional menjalankan amanah mereka. Sebaliknya, saya berdoa agar mempunyai lebih masa meluncur papan selaju.
Ya! Papan selaju yang dikenali sebagai skateboard itulah eskapisme saya. Dunia yang didalamnya tidak ada pemerintah, tidak ada kasta. Yang wujud ialah persaudaraan, kegembiraan, antusiasisme dan tenaga yang membuak-buak.
Beberapa bulan lalu, 'sukan' papan selaju disebut-sebut gara-gara seorang peserta Sukan Asia dari Malaysia dikritik netizen dek kerana prestasinya kurang memberangsangkan.
Sudah lama rasanya kita tidak mendengar keriuhan sukan yang berasal dari negara Uncle Sam ini.
Berbeza ketika tahun dimana saya larut dalam dunia papan selaju; di awal tahun milenia, 'sukan' papan selaju mendapat tempat di media perdana. Ada sahaja syarikat-syarikat besar mempromosi papan selaju dalam iklan-iklan komersial mereka. Rancangan televisyen yang berkaitan dengan anak-anak muda seperti "Remaja" di tv3 seringkali memaparkan rencana tentang papan selaju. Manakala hero-hero papan selaju tanah air seperti Pa'din Musa dan Joe Ipoh 'laku' menjadi model-model iklan komersial.
Papan selaju langsung terkenal sebagai sukan urban dikalangan anak remaja.
Sekian lama (hampir 18 tahun) bermain papan selaju, sejujurnya saya merasa kurang nyaman apabila papan selaju dianggap sebagai 'sukan'.
Saya tidak mengatakan ianya salah. Namun, cara saya mendefinasikannya berbeza. Papan selaju ialah cara hidup - sebuah budaya tanding terunggul.
Bagi seorang 'skateboarders' (panggilan yang diberi kepada pemain papan selaju), dari cara pemakaian, cara memandang sesuatu perkara sehinggalah kepada jiwa pemainanya - semuanya dipengaruhi oleh papan selaju. Malah, minat saya terhadap buku, fotografi, seni lukis, muzik dan menulis - semuanya bertumbuh dari dunia papan selaju.
Saya sangat bersetuju dengan pendapat Mike Vallely, seorang lagenda papan selaju yang kini sibuk menguruskan jenama papan selajunya bernama "StreetPlant" berpusat di California. Didalam klip video berdurasi 1 minit "StreetPlant Garageland" ada satu sticker yang dilekatkan di dinding garaj Mike tercetak perkataan "Skateboarding Is Not A Sport".
Itu merupakan satu propaganda yang cukup autentik. Kewujudan papan selaju sejak tahun 60an sudah cukup membuktikan betapa radikal dan rebeliusnya permainan ini. Tidak seperti sukan lain, papan selaju adalah tentang kebebasan sebenar dan keengganan mematuhi graviti.
Papan selaju diberkati kerana permainannya yang tidak ada undang-undang. Di dalam dunianya, kamu langsung tidak akan melihat kelibat otoriti dalam menentukan yang mana satu "halal" dan yang mana satu "haram". Tiada ketuanan yang menentukan golongan mana yang lebih memiliki hak. Papan selaju, melalui komunitinya menciptakan dunia persaudaraan tanpa batas dan mencipta kesempatan untuk semua.
Satu perkara yang hebat mengenai papan selaju ialah semangat "Do It Yourself" (semangat mengerjakan sesuatu tanpa perlu bergantung kepada sesiapa).
Saya masih ingat ketika berusia 15 tahun, saya dan rakan-rakan sebaya mencari kayu untuk membina "skate park" pertama di kawasan kejiranan kami. Tanpa belanja besar, tanpa dana dari markas politik cawangan taman, kami bertukang dari awal pagi untuk menyiapkan "skateboard obstacles".
Saya sendiri tidak pernah belajar bertukang secara formal. Tetapi semangat papan selaju melebihi segalanya. Kami menyiapkan skate park pertama setelah berjam-jam lamanya dan perasaan teruja meluncurnya di petang hari masih saya rasakan.
Skaters (pemain papan selaju) diajar untuk membuat sesuatu tanpa perlu berfikir panjang. Saya dapat rasakan ramai skaters berpendapat sama; kami belajar setelah berkeputusan melakukan sesuatu. Ia adalah satu proses panjang yang menarik; dari kurang mahir, kami belajar sehingga akhirnua menciptakan sebuah magis!
Dan kerana semangat DIY inilah, industri papan selaju berkembang pesat. Menurut artikel "Skateboarding Is Still a Crime, But the Sport Is Admirable" yang ditulis oleh Laura Beth Nielsen, seorang Profesor Sosiologi - Pemain papan selaju telah membangunkan industri sukan ini secara bebas, dianggarkan lebih daripada 11 juta pemain papan selaju yang menyokong pasaran $ 4.8 bilion di Amerika Syarikat sahaja. Jenama-jenama terkenal papan selaju seperti Toy Machine, Zero, Birdhouse, Emerica, The Straye, Pig Wheel (sekadar menyebut beberapa nama) dibangunkan sendiri oleh pemainnya dan ada dari jenama ini sudah wujud hampir 20 tahun!
Di Malaysia juga, para pemainnya sudah menggerakkan sendiri label-label mereka sendiri secara indipenden. Terdapat banyak skate park yang dibikin sendiri oleh para skaters sejak bertahun dahulu sehingga sekarang. Mereka anjurkan sendiri pertandingan papan selaju dan acara-acara berkaitan tanpa perlu menunggu orang-orang kenamaaan mencemar duli.
Saya setuju benar mana-mana persatuan papan selaju tidak dicemari dengan tangan-tangan orang kenamaan, orang politik. Ini kerana mereka ini tidak memiliki jiwa papan selaju. Mereka cuma nampak potensi, peluang dan hasil yang mereka peroleh dari "memperkerjakan" dunia papan selaju.
Papan selaju adalah segalanya bagi saya. Walaupun saya pernah "meninggalkannya" beberapa tahun kerana faktor bekerja, namun ia tidak pernah luput dalam jiwa. Saya tetap mengenakan kasut Vans, berkemeja kotak-kotak seperti Ed Templeton, berseluar jeans ala Jamie Thomas dan tetap membaca majalah Thrasher pada setiap bulan.
Saya fikir, faktor keseronokkan bermainnya adalah punca mengapa saya masih berpapan selaju. Saya tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan papan selaju kerana saya tidak menggemari idea berkompetisi dalam pertandingan. Dan ya, saya akui saya tidak semahir mana dan tidak sesuai untuk beraksi dalam pertandingan. Saya lebih 'enjoi' bermainnya bersama rakan-rakan, bermain di skate park-skate park berlainan dan merayakan setiap minit darinya.
Papan selaju adalah sumber tenaga yang tidak dimamah usia. Ianya juga antara sebab yang mempengaruhi corak pemikiran saya. Saya tidak nampak rasisme berlaku dalam dunia papan selaju (dan kalaupun ada, yang bersikap rasis itu pasti dilawan habis-habisan). Saya tidak merasai saat saya meluncur itu memerlukan saya mematuhi disiplin atau undang-undang tertentu. Saya, malah menjadi lebih kreatif dalam mengekspresikan apa yang terlintas dalam kepala saya saat saya meluncurnya.
Kata Ian Mckaye, vokalis kugiran Minor Threat / Fugazi - kugiran terpenting dalam sejarah Hardcore Punk - "Skateboarding bukan hobi. Dan ia bukan sukan. Papan Selaju adalah cara untuk belajar mendefinisikan semula dunia di sekeliling anda. Bagi kebanyakan orang, apabila mereka melihat sebuah kolam renang, mereka berfikir, 'Mari berenang.' Tetapi saya fikir, 'Marilah kita menungganginya.' Apabila mereka (para pemain papan selaju) melihat jalan raya atau jalan, mereka akan berfikir tentang meluncur di atasnya. Saya akan berfikir tentang tekstur. Saya secara perlahan membangunkan keupayaan untuk melihat dunia melalui cara yang sama sekali berbeza."
Saya tidak mempunyai jawapan bila sepatutnya seorang pemain papan selaju berhenti bermain. Tony Hawk masih 'terbang' di usia 50 tahun. Tony Alwa masih meluncur di 'pool' di umurnya yang mendekati 60 tahun.
Saya tidak merancang bermain sehingga menjadi setaraf lagenda. Itu bukan impian saya.
Tetapi cukuplah dengan rasa berdebar, teruja dan kesereronokkan jatuh tergolek saat terjun bersama papan selaju dari 7 set anak tangga.