PEDOMAN PROTES BUAT KELAS PEKERJA
Occupy. Resist. Produce
SETIAP kali terdengar cerita pekerja mogok, setiap kali itu jugalah saya akan mengulang menonton dokumentari bertajuk ‘The Take’.
Kisah mengenai pekerja kilang di Argentina ini cukup elektrik, autentik dan menginspirasikan.
Ia mesti dijadikan contoh dan tauladan. Mesti dikongsikan dan disebarkan. Agar seluruh kelas pekerja disimbah cahaya. Bahawa, dunia yang lebih baik bukan ditentukan oleh Negara, kelas pemerintah atau majikan. Tetapi di atas tapak tangan sendiri.
Dokumentari ini dilatari situasi Argentina saat krisis tahun 2000an. Dilengkapkan dengan pergolakan politik serta pilihanraya presiden yang mendebarkan.
Benarlah kata Marx. Sistem(kapitalisme) akan terserlah wajah sebenar saat krisis.
Argentina, negara kaya yang dimiskinkan menyaksikan ramai kelas pekerjanya kehilangan pekerjaan. Kilang-kilang milik taikun kaya ditutup. Pekerja yang selama ini mengabdikan seluruh hidup kepada produksi menderita. Tetapi, yang kaya tetap kaya. Perut kelas pekerja yang lapar, siapa yang peduli?
Berbangkit dari debu yang melelahkan, apa yang pekerja kilang Froja San Martin lakukan?
Selepas tiga tahun kilang tempat mereka mencurah bakti ditutup, mereka yakin, menghidupkan semula kilang dengan pentadbiran sendiri akan menyelamatkan masa depan mereka.
Di Argentina, kilang yang ditadbir sendiri oleh kelas pekerja bukan cita-cita utopia. Setiap tahun, pertambahan kilang-kilang yang diambil alih oleh pekerja bertambah sekali ganda.
Mereka beroperasi secara mandiri. Dari urusan pentadbiran, pengeluaran, penjualan — segalanya dilakukan bersama-sama.
Hasilnya lebih lumayan. Jauh lebih fantastik dari pentadbiran hieraki. Produksinya maju. Pengeluaran lebih teratur. Gaji yang diterima sama rata. Bonus dikongsi bersama-sama. Kebajikan terjamin. Lebih dari itu, keuntungan turut disalurkan kepada hospital dan sekolah komuniti.
Formulanya? Tentu sekali penglibatan aktif kelas pekerja. Mereka mengambil bahagian berdebat idea, menentu dan mengelola sendiri segala urusan kos, urusan simpanan, urusan pentadbiran secara saksama.
Namun begitu, kisah klasik ini tidak berlaku dalam satu malam.
Misalnya pekerja Froja San Martin. Mereka menunggu bertahun lamanya berjuang mengambil alih kilang. Dari membuat tuntutan daripada mahkamah, membina jaringan antara kilang-kilang yang diswakelola pekerja, keluar menekan orang-orang politik, hari-hari kemenangan dibayar dengan begitu mahal.
Begitu juga yang berlaku kepada pekerja kilang Zanon dan Brukman Workers.
Di saat keputusan pemilihan Presiden diumumkan, kilang yang selama ini ditinggalkan, dibangunkan secara mandiri menghadapi ancaman rampasan.
Jentera polis dikerahkan. Mahkamah bersidang. Taikun-taikun tersenyum, menggerakkan catur lembaga undang-undang dan kelas pemerintah untuk mencabut rumah produksi milik pekerja.
Pekerja Zanon dan Brukman Workers menghadapi musuhnya; Negara dan otoriti dengan keberanian.
Mereka tidak memerlukan ahli akademik, ahli politik mahupun profesor-profesor kangkung goreng belacan bersama-sama mempertahankan kilang.
Sebaliknya, mereka keras melawan bersama sokongan pekerja-pekerja lain, juga ahli-ahli komuniti.
Sekuat mana pun Negara. Segagah mana pun tuan Presiden dan undang-undang. Sesombong mana pun orang kaya elit. Pekerja, akhirnya tetap menang.
Jadi, setelah kerap sangat mengkhatam, elok kiranya saya kongsikan 5 pedoman kisah perjuangan pekerja kilang Argentina. Moga bermanfaat.
Pertama.
Idea keluar berprotes tidak mewakili keseluruhan idea perubahan. Tidak diragukan, ia merupakan bahagian-bahagian penting. Tetapi harus diingat. Ia bukan perkara utama. Kerana apa? Kerana soalan lazimnya, apa selepas protes? Aksi langsung (direct action) mesti dimengertikan ke dalam urusan menawarkan pelan dan solusi. Bagi pekerja Froja San Martin, aksi langsung mereka ialah mencari jalan dalam mendapatkan semula kilang dan mengupayakannya bersama-sama.
Kedua.
Organize. Tanpa susunan dan stratergi, usah bermimpi merealisasikan cita-cita. Kumpul seramai pekerja yang mungkin. Ini bukan tentang keinginan individu. Upaya yang sedang dibina ini tentang semua; tentang saya, dia, kamu, jiran tetangga, isteri, anak-anak di rumah dan masa depan. Pertaruhkan ideamu. Sambut idea dari mereka yang lain. Kumpulkannya secara kolektif. Dan buatlah pilihan. Gerakkan rancangannya. Gagal? Kemenangan tidak hadir dalam satu malam. Tetapi pada setiap pagi ketika mentari timbul, begitu jugalah dengan harapan. Mengerti?
Ketiga.
Paksaan, meski pada perkara yang betul selalunya tidak bertahan lama. Kesepakatan bermula dari sebuah keimanan. Bahawa mendirikan langkah-langkah ini memerlukan hati yang sukarela, yang benar-benar memahami situasi, yang tahu hujung pangkalnya bukan imbuhan individu, tetapi keseluruhan pekerja yang mahu mencipta perubahan. Jangan diperlecehkan kawan-kawan yang enggan bersama. Barangkali, terlalu banyak yang dia bimbangkan. Buktikan kepadanya, perjuangan ini membawa suaranya.
Keempat
Kesatuan hati. Kerja menyatukan hati adalah kerja menyemai demokrasi. Kata orang, demokrasi adalah apabila sang pemimpin (kerajaan/majikan) mendengar kata orang bawahan. Nah! Itu adalah penipuan super menyedihkan. Demokrasi adalah upaya mengumpulkan setiap satu dari kita untuk menyatakan pendirian, berbuat pilihan dan membereskan hal-hal dengan tangan sendiri. Demokrasi adalah sebuah idea yang mematangkan pengamalnya tanpa harus duduk menunggu orang-orang atasan berbuat sesuatu. Kerana kita mesti yakin, orang atasan melaksanakan sesuatu, satu untuk menjaga kebajikannya. Dan dua, untuk memiliki hati kita.
Kelima, terakhir dan paling sakral.
Wajib elakkan diri dari dihurung ahli politik. Saat kita keluar menjerit menyatakan tuntutan, ahli-ahli politik pasti akan datang menghurung. Mereka menjelma bersama keistimewaan alamiahnya iaitu membawa janji manis. Dan perlahan-lahan, tanpa kamu sedari, muka mereka lah terpapar di muka depan akhbar. Diwawancara media. Gambar mereka bertempik keadilan sambil tangan digenggam di angkasa raya laris lumayan dijaja seluas alam. Langsung, mereka menkadi hero, pembela umat pekerja. Harus diingat. Bukan ahli politik sahaja yang pandai mengambil kesempatan begini. Ada antaranya juga yang tidak malu menamakan diri mereka sebagai ‘aktivis’.
Jelas ya. Jika tiba-tiba Syed Saddiq atau Khairy Jamaludin atau Ketua Pemuda Pas, atau Presiden Sosial Demokrat atau Wakil Mahasiswa atau siapa sahaja yang berlatarbelakangkang parti politik datang menghampiri dan menawarkan jalan, ajaklah kawan-kawanmu menjauhkan diri. Tinggalkan dongeng buatan mereka.
Dengan itu ingat seingat ingatlah,
Sesiapa sahaja yang menghampirimu dan menjanjikan bulan dan bintang, maka, dialah musuhmu yang paling nyata.