PENYAJAK KEGEMARAN KUALA LUMPUR YANG SAYA KENALI

Hadri Shah
4 min readJun 10, 2024

--

Hasil pukulan Wan Pendang

Saya pernah dimarahi Penyajak kegemaran Kuala Lumpur, Pyanhabib. Saya panggil dia, Abang Pyan.

Dimarahi kerana salah saya. Akibat menggelabah tak tentu hala, sangsi dan tidak berpegang pada janji.

Beberapa bulan selepas buku pertama saya diterbitkan Thukul Cetak pada tahun 2017, Abang Pyan menghantar mesej, "Hadriiiiiii! Ada mana?"

Mungkin Abang Pyan dapat nombor telefon saya dari Mut. Mungkin dari Cikgu Zamir. Saya tak tahu. Tapi saya memang benar-benar terkejut. Teruja. Seorang kutu berpangkat Godfather menghantar mesej kepada penulis kecil yang baru belajar merangkak.

Rupa-rupanya Abang Pyan mahu mengajak saya melepak sambil jual buku di sebuah acara muda-mudi di Pulau Pinang.

Saya terima ajakannya dengan hati yang cukup bahagia.

Abang Pyan cakap, "makan-tidur-lepak sama abang". Semua ditanggung beres. Saya cuma perlu hadir membawa buku-buku untuk dijual di acara.

Dia sempat bertanya macam-macam. Dari hal-hal besar sehingga hal-hal kecil; bos luluskan cuti ke, datang acara naik apa, ada duit tambang atau tidak, menyusahkan atau tak - sampaikan menawarkan diri menolong menjual buku sekiranya saya menghadapi kekangan. "Kesian, takut Hadri terkejar-terkejar" - kata dia.

Saya sedapkan hati Abang Pyan. Semuanya sudah diuruskan. Saya mahu pergi. Kerana siapa tidak mahu melepak bersama penyajak kegemaran Kuala Lumpur?

Sehari sebelum bertolak, saya kirim sekeping mesej - "Hadri dah beli tiket bus. Esok malam sampai sana dalam pukul 5 pagi. Nak jumpa bangpyan kat mana?".

Saya terima mesej balasnya. Sederhana. "Sampai esok repot. Abang hantar kaki pukul kutip. Jangan risau."

Disinilah episod saya menggelabah tak tentu hala berlaku.

Bukannya saya takut kaki pukul datang kutip. Tetapi saya sangsi akan siapa "kaki pukul kutip" yang dimaksudkan Abang Pyan.

Lagipula, Abang Pyan tak beri nombor "kaki pukul" untuk saya hubungi. Nak bertanya lebih, saya segan. Bimbang nampak sangat gelabah. *

Malamnya saya berangkat. Ada seorang kawan tahu yang saya akan ke Pulau Pinang malam nanti. Dia cakap akan jemput saya di jeti. Saya lega. Kekusutan yang membelenggu lekas-lekas ghaib dihisap angin ekon bas ekspress.

Pukul 6.39 pagi Abang Pyan hantar pesanan. Ketika itu, saya dan kawan sedang menyuap roti canai di sebuah kedai.

Saat membaca mesej Abang Pyan, segala kekusutan (yang telah dihisap malam tadi), gelabah, rasa bersalah datang merempuh mengkhinzir buta.
"Kenapa tak cakap ada kawan ambil? Gua punya kawan susah-susah pergi Subuh, jauh-jauh."

Dalam rasa pekat bersalah dan gelabah, saya beri pelbagai alasan. Saya call dia. Abang Pyan tak menyambut. Dia menghantar mesej, "kenapa call?". Saya benar-benar lupa gara-gara terlalu gelabah.

Abang Pyan tegas. "Kita sudah berjanji". Mesejnya. Sudah bilang jangan risau. Kawan akan datang jemput.

Dan bila mesej Abang Pyan berbunyi begini, "Salah!" (Merujuk perbuatan saya yang tidak berpegang pada janji), terasa seperti ada benda berat menghempap dada ini. Saya, sesungguhnya malu. Teramat. Rasa mau pengsan.

Saya pinta maaf. Saya katakan pada Abang Pyan yang saya akan menunggu dia di tapak acara. Lalu dia pesan, datang ke sana selepas pukul 10 pagi. Acara hanya bermula selepas jam itu.

Tetapi entah mengapa, gelabah biawak saya menyeringai kembali. Beberapa ketika, saya langsung menyuruh kawan menghantar ke hotel Abang Pyan.

Setelah sampai di hotel saya menghantar sekeping mesej. "Bangpyan, saya sudah sampai di hotel".

Untuk kedua kalinya, Abang Pyan menegur. "Lahh! Kata terus pergi sana. Datang hotel pulak?"

Sekali lagi dada saya dipijak benda berat. Sikap menggelabah tak tentu hala nampaknya begitu gembira menghukum saya.

Terpaksa saya mohon maaf sekali lagi. Abang Pyan membuka pintu menjemput saya masuk. Saya pandang wajahnya dalam rasa yang takut, bersalah dan beribu penyesalan.

Dan benda pertama beliau bertanya saya dalam bilik ialah, "Hadri sudah makan?" Luar biasa peribadinya!

Selama dua hari saya bersama Abang Pyan. Walaupun saya buat 'slek' diawalnya, tetapi Abang Pyan mengotakan setiap janjinya. Urusan makan, tempat tidur, transportasi segalanya disiapkan penyajak ternama ini. Banyak kawan-kawan baru yang diperkenalkan Abang Pyan kepada saya; Abu Nawas, Bundi, Nassir dan Imuda.

Saya senang melepak bersamanya. Antara momen-momen hidup yang tak mungkin terlunturkan.

Tahun-tahun selepas itu menemukan saya dengan Abang Pyan di kebanyakkan acara seni/buku. Tetapi tidaklah sebegitu kerap.

Harus saya akui, anak-anak muda seusia saya (yang kini semakin menua), menganggap Abang Pyan bukan sekadar seorang seniman.

Malah Abang Pyan adalah sosok rebelius yang mempesonakan. Yang sajaknya harum semerbak di jalan-jalan demonstrasi. Yang keberadaannya sentiasa mewakili orang-orang bawahan tertindas. Yang sentiasa ada untuk menggembirakan orang-orang sekeliling.

Penyajak kegemaran Kuala Lumpur ini seorang yang ikhlas, baik budi, terhormat, menghormati masa dan juga seorang insan yang sensitif. Dari kisah saya, anda pasti mengerti mengapa saya berkata demikian.

Siapa tergamak menyanggah seorang kutu berwawasan seperti Pyanhabib? Siapa?

Saya bukanlah seperti kawan-kawan lain yang akrab dengan Abang Pyan. Tetapi bukankah kebaikkan, walau sebesar mana pun berbekas?

Hampir seminggu lalu, saya datang ke masjid di Keramat untuk mengiringi Abang Pyan. Keramat bukanlah daerah yang saya kenal. Tetapi apabila sampai, saya tahu yang saya tidak sesat. Ramai kutu-kutu berambut panjang turut hadir untuk mengiringi.

Ada yang sudah menjadi Yang Berhormat, berpangkat Dato’, pekerja kolar biru, seniman, pelukis, penulis, editor dan sebagainya. Namun semuanya masih kental kekutuan mereka. Kami semua datang untuk memberi penghormatan terakhir buat The Godfather of kutu - seorang seniman, penyajak kegemaran dan kawan yang akan dirindui sampai akhir nanti.

Terima kasih Abang Pyan untuk segalanya. Benar kata Abang, tak semua yang kita buat disuka orang. Tetapi brader, kita mesti terus hidup.

Saya tahu Abang Pyan sedang aman di negeri abadi, bersiul kebahagian sambil bersajak tentang sebuah kehidupan di tanah tanpa kelas, tanpa penindasan dan tanpa cukai yang memiskinkan orang-orang bawahan seperti yang diperjuangkan Abang lewat tahun-tahun lalu.

Moga kita berjumpa lagi nanti.

* Sebenarnya Abang Pyan ada menghantar nombor telefon 'kaki pukul' yang dimintanya menjemput saya di Pulau Pinang. Tetapi disebabkan saya gelabah tak tentu arah, saya tidak membaca pesanannya. Saya cuma perasankan mesej itu setelah kembali ke Kuala Lumpur.

--

--

Hadri Shah

Penulis tiga buah buku yang kini sedang mencari pedoman hidup dengan meluncur papan selaju