PLEASE TUHAN?

Hadri Shah

--

Rasanya tak ada salah pun. Bahkan tak tergugat sama sekali keagungan Tuhan andainya dia memberi pilihan samada ibubapa berhak berkeputusan supaya usia anaknya diteruskan, tertangguh atau terhenti di beberapa detik.

Paling kurang, anugerahkanlah diskaun. Dua tahun setengah kovid mempersetankan dunia. Alih-alih bila sekolah diperintah membuka pintu pagarnya semula, anak saya sudah menghampiri usia 11 tahun.

Kelmarin, Quds menjejak kakinya sebagai seorang pelajar yang berada dalam transisi dari seorang anak kecil ke usia keremajaan.

Dia tampak segak dengan baju kemeja putih, bertali leher dan berseluar hijau gelap. Rambutnya disisir rapi. Lagak seperti Steve Olson, lelaki paling bad ass dalam dunia skateboarding.

Melihatnya, saya sentiasa terkenang sikap Quds yang comel, telatah dan sikap main-mainnya yang menawan.

Sedikit resah pun tiada terlukis di roman wajah. Quds kelihatan okay dengan dunia baharu yang bakal ditempuhnya.

Berbeza sekali dengan saya suatu ketika dulu; tiap kali sekolah dibuka usai siap tempoh cuti persekolahan, rasa gugup, bosan dan serabut perut merusuh dalam jiwa. Saya tak gemar persekitaran baharu. Apatah lagi untuk membina semula rutin - berkenalan dengan wajah-wajah asing, "hai nama awak siapa? Nama saya Hadri Escobar. Boleh kita berkawan?"

Ada beberapa hal yang mengharukan saya saat memandang wajah Quds ketika dia berlalu masuk ke dalam perut sekolah.

Pertamanya, saya memang tak suka melihat anak bertumbuh dari satu usia ke usia yang lebih besar angkanya.

Ia mengingatkan akan usia yang makin menua. Semakin tua bererti kederat saya semakin mundur. Rambut kian menipis. Struktur muka membulat air. Dan paling mengerikan, perkataan 'mati' kerap melambung-lambung dalam fikiran.

Kedua, apabila anak membesar, lebih banyak yang saya sebagai seorang bapa perlu belajar.

Saya letih belajar. Saya takutkan keputusan dari siri-siri ujian disepanjang alam kebapaan.

Cukup-cukuplah saya dididik bangun di satu pertiga malam untuk membancuh susu dalam botol, mengemas rumah yang berselerak dengan patung spiderman, petak-petak lego dan mainan-mainan yang dibeli di kedai Mr DIY serta menjawab seribu satu soalan sejak Quds mula petah bercakap.

Di era keremajaan ini, saya sedar yang saya mesti belajar menerima hakikat bahawa seorang anak remaja akan berkurang sifat bergantung kepada bapanya.

Berkurangnya sifat ini membawa maksud, dia sudah ada akal sendiri. Lebih mandiri. Lebih panjang fikirannya. Lebih berhak memutuskan apa keinginan dan kemahuannya.

Lagi 4 tahun, pelajaran Quds di alam persekolahan akan sempurna tempoh.

Dia akan angkat kaki keluar dari rumah. Mungkin bekerja. Atau mungkin melanjutkan pelajaran di kolej/universiti. Dan selepas itu mencari pekerjaan. Berhutang kereta dan rumah. Berkahwin. Beranak pinak. Sekali-sekala pulang ke rumah saya dan Pari-Pari Polka Dot untuk bercuti.

Segalanya kelihatan seperti telah disusun. Terlihat normal. Lurus. Dan teratur.

Tetapi apa akan jadi kalau itu semua tak berlaku?

Jadi penyangak? Atau jadi seorang lelaki yang berwatak menarik, profesinya tak kalah hebat tetapi seisi alam Kuala Lumpur tahu dia seorang kaki pompuan teragung?

Atau hidupnya dilimpahi jutaan view kerana content-contentnya di media sosial mengenai hal-ehwal review makanan tetapi yang pandai disebutnya dalam setiap modal kontennya hanyalah "sedap, padu, mantap, porsinya banyak gais" dan selalu makan gelojoh dalam kereta.

Atau tidak bekerja. Duduk melangut, mengangkang di rumah tanpa berdaya membuat sumbangan kepada hidup sendiri, berjasa kepada ibubapa dan masyarakat hanya kerana perasaan "anxiety" meribut setiap kali keluar menemuduga dan satu-satunya ubat kepada penyakit ini hanyalah main PUBG di sofa rumah.

Atau yang terpaling sadis, mulanya menjadi mahasiswa yang punya semangat api Che Guevara, tetapi kemudiannya memanjat tangga politik arus perdana kerana tersihir ayat "engkau boleh merubah negara ini, negara ini perlu anak muda seperti engkau" sebelum bertukar-tukar parti dan akhirnya menyokong PAS.

Saya bukanlah si tolol mengharapkan hal-hal ini berlaku.

Demi Tuhan, saya takkan biarkan Quds bersikap demikian. Awal-awal lagi saya akan karate tengkuk dia kalau kelakunya membencikan. Biar dia tahu, hidup terlalu pendek untuk memilih jalan hidup yang menyusahkan orang.

Tetapi lewat kebelakangan, pertanyaan-pertanyaan merepek ini menjelma tanpa surut seperti mahu mengjengkelkan saya. Saya rimas. Bosan dan terasa mual mahu melayannya.

Sudah lah kerja harian semakin tak menyenangkan hati. Ditambah pula hal-hal begini membuatkan saya bimbang menutup mata di malam hari kerana esok, mentari pasti menaik di horizon membias sinar di hari baru.

Satu-satunya cara menyelesaikan masalah ini menurut saya, adalah jaminan untuk memberhentikan atau sekurang-kurangnya menunda tumbesaran anak-anak seperti Quds. Biarlah kecomelan mereka infinit. Dan tidak terdedah dari dunia yang penuh dengan hashtag serta tipu daya ahli politik.

Jadi Tuhan, tidakkah ini sedikitpun membuat kamu, dengan kekuasaanMu mengasihani hamba seperti saya yang cuma mahu menunda sekejap usia anaknya agar dapat terus menikmati telatah anak kecil yang membahagiakan dan melindungi dia jauh dari kenyataan dunia yang jahat?

Please, Tuhan?

Sign up to discover human stories that deepen your understanding of the world.

Free

Distraction-free reading. No ads.

Organize your knowledge with lists and highlights.

Tell your story. Find your audience.

Membership

Read member-only stories

Support writers you read most

Earn money for your writing

Listen to audio narrations

Read offline with the Medium app

--

--

Hadri Shah
Hadri Shah

Written by Hadri Shah

Penulis tiga buah buku yang kini sedang mencari pedoman hidup dengan meluncur papan selaju

No responses yet