SABOTAJ

Hadri Shah
4 min readMay 6, 2024

--

Kali ni saya guna gambar sendiri.

Antara tahun 2014 - 2015, saya dan Pari-Pari Polka Dot menyertai sebuah program pengurusan kewangan.

Terus terang saya katakan, program sebegini tiada tempat di hati.

Saya setuju bahawa idea menguruskan kewangan adalah asas kehidupan seorang dewasa.

Namun, saya tidak berminat mengetahui cara-cara memberanak pinakkan duit dan harta - modal laris yang sering didagangkan para sifu kewangan.

Duit banyak, kaya, beli rumah harga berjuta, kereta mahal dan dipandang mulia oleh masyarakat bukanlah jalan hidup yang saya berahikan.
Saya lebih cenderung arah kiblat Mama - sederhana dan tak memeningkan kepala.

Kata Mama, "orang lain mungkin setiap hari sibuk fikir macam mana nak kaya, tetapi hidup kan lebih indah pabila esok pagi masih rileks minum teh tarik?".

Saya mengamini satu perkara; untuk mengatur kewangan sendiri, yang utama adalah disiplin, kedua mendahulukan hutang-piutang dan terakhir ialah kepentingan menyimpan (walau sedikit) untuk hari esok.

Inilah yang saya praktiskan sekian lama sejak kali pertama menerima upah bulan.

Walaupun begitu, saya, akhirnya menurutkan hasrat Pari-Pari Polka Dot menyertai program itu setelah mendengar ceramah seorang sifu kewangan.

Seperti kebanyakkan sifu-sifu kewangan arus perdana lain, dia juga gemar membuka pekung kisah diri sendiri.

Dari senang ke papa kedana. Dari berduit sehingga berhutang ah long. Dulu pandu kancil, sekarang berbangga dengan Ferrari. Seterusnya hidup senang gilang gemilang makan duit tak habis 18 keturunan.
Masih terngiang-ngiang lagi sabda si sifu daripentas ceramah,

“kalau anda semua tak berminat dengan program saya pun tak mengapa. Saya tak kisah. Saya sudah kaya. Tetapi anda tidak.” Cocky asshole, bukan?

Harus kalian tahu, saya bersetuju mengikuti program kewangan itu bukan kerana termakan kisah-kisah klise sifu yang membosankan.
Sebaliknya kerana tuan badan menyatakan bahawa programnya bertujuan mendidik umat menguruskan wang dengan lebih efektif.

Programnya tampak lebih meyakinkan kerana dia tidak menyebut hal-hal pelaburan, hartanah, loan atau jalan-jalan pintas yang meragukan.

Yang diulang-ulang sifu ialah tentang asas menyimpan dan susun atur perbelanjaan sahaja.

Yang kedua, sifu menganjurkan keutamaan menyimpan wang buat si isteri sekiranya berlaku musibah yang tak diingini.

Misalnya, katakanlah si suami bila sudah senang, hutang tiada lalu lupa diri dan gila beromen dengan perempuan lain, maka simpanan yang ada akan berpihak kepada si isteri.

Ini, ternyata bukanlah bayangan bahawa saya bakal menjadi lelaki kabaret seperti itu. Tidak!

Yang mahu disampaikan, kalaulah berlaku apa-apa kepada batang tubuh ini, maka bukan hutang yang saya wariskan. Bahkan Pari-Pari Polka Dot mampu menyambung hidup dengan aman.

Dan seingat saya, sifu tidak inzal menunggang ayat-ayat agama dan menyuruh saya menghafal doa murah rejeki serta kerap solat berhatjatkan kekayaan dalam ceramahnya.

Setelah pertemuan pertama di sebuah kelab di Putrajaya, kami langsung mendaftar.

Beberapa minggu selepas itu, kami bertemu sifu bagi menyusun pelan-pelan kewangan.

Belum cukup dua purnama, kereta kenari biru saya telah bebas dari perhambaan hutang bulan.

Begitu juga yuran PTPTN. Adam Adli barangkali tertanya-tanya bagaimana saya dapat menyelesaikan sisa baki hutang.

Tak semua hutang lenyap begitu saja. Ada sedikit yang berbaki. Namun, pengurusannya lebih cemerlang.

Harus saya akui, walaupun beberapa hitang besar mudah dilangsai, pelan kewangan itu sedikit membataskan nafsu berbelanja kami.

Jiwa dan batin saya siksa terkesan dengan jadial perbelanjaan bulan.
Setiap urusan belanja bulan mesti patuh serta taat kepada pelan kewangan yang sudah termeterai.

Hal sewa rumah, barang dapur, belanja bulan, bil-bil lain tidaklah payah mana pun untuk dituruti. Saya tak punya masalah itu.

Cuma, saya tak punya wang lebih untuk berbelanja.

Contohnya; sebelum program ini, saya sudah reti mendahulukan hutang, belanja bulan dan simpanan.

Tetapi tidaklah sampai mesti ikat perut saat berfoya-foya di kedai bundle, sebagai contoh. Pergi bundle dan pulang dengan tangan kosong adalah sebahagian dosa yang terkutuk.

Maksudnya, duit belanja bulan saya cukup-cukup untuk survive sehingga 25 haribulan depan.

Kalau saya mencabulinya, maka tiadalah tiada nasi putih, sup tulang serta sambal belacan untuk makan tengah hari esok,lusa dan mungkin tulat.

Walaupun begitu, kami jalani program itu dengan taat, seperti seorang umat yang takut melakukan dosa serta mengharapkan syurga menanti.

Entah mengapa, hal siksa menguruskan duit di awal-awal tahun program mengingatkan saya kepaada CD Album Beastie Boys - Ill Communication.

Pada suatu petang di hujung minggu, saya, Pari-Pari Polka Dot dan Quds yang ketika itu berusia sekitar 3-4 tahun pergi ke acara Collectors Market di Petaling Jaya.

Kami teramat sedar tidak ada apa yang boleh dibeli disitu. Kami cuma mahu berpeleseran. Membunuh masa. Dan menjadi bahagian kemeriahan acara.

Banyak reruai dibuka. Barang-barang langka bernilai, t-shirt kugiran rock, permainan/figura, poster-poster menarik - tiap satunya dipamerkan, menunggu transaksi wang berlaku untuk membahagiakan si penjual dan si pembeli.

Saya lebih berminat dengan material-material karya musik. Kami menyinggah ke beberapa reruai yang menjual vinil, kaset dan cd-cd album yang menggiurkan.

Seperti takdir yang hadir menyergah tiba-tiba, saya ternampak sekeping CD Beastie Boys diatas sebuah meja reruai.

Saya tunjukkan kepada Pari-Pari Polka Dot. Ada lagu kegemaran kami berdua terkandung dalam album itu iaitu Sabotage.

"Berapa harga CD ni bang?" - tanya saya kepada brader cool, tuan reruai.
"RM20 je berrow", balas beliau ramah.

Kami berdua jadi tak tentu arah. RM20 untuk album prolifik ini tidaklah sebesar mana pun nilainya.

Tetapi baki wang dalam kocek menjadi persoalan. Bahkan sebuah batas besar antara keinginan untuk memiliki atau berlalu pergi bersama sedih di hati.

Saya ada RM10. Pari-Pari Polka Dot pun ada RM10.

Kami sepakat. Biarlah masa menentukan takdir perut. Minggu depan gaji masuk. Kami tekad menghadapi minggu ketiga terakhir itu dengan berani.
Lalu CD bertukar tangan.

Dalam kereta saat menuju rumah, track Sabotage dimainkan berkali-kali tanpa jemu.

Saya dan Pari-Pari kesayangan sing a long, tertawa dan bercakap hal-hal yang membahagiakan sepanjang jalan menuju ke rumah.

Kami survive minggu itu sehingga upah bulanan terbit dari rahim ATM. Masih mampu makan walau ada beberapa catuan yang perlu dilaksanakan.
Tuan-tuan,

Ini bukan kisah bushit klise; cerita payah jerih, cintan-cintun macam selebriti ahli perniagaan media sosial.

Saya tergerak untuk menulis kerana pagi ini terasa amat bersyukur punya Pari-Pari yang sentiasa menyenangi saya dalam tiap masa dan detik.

Sesederhana itu.

"Di bawah alismu hujan berteduh. Di merah matamu senja berlabuh" - Joko Pinurbo.

--

--

Hadri Shah

Penulis tiga buah buku yang kini sedang mencari pedoman hidup dengan meluncur papan selaju